Ferrari 250 GTO Dilelong RM198 Juta


Sebuah kereta lumba Ferrari 250 GTO keluaran 1962 berjaya dilelong pada harga AS$48.4 juta (RM198.6 juta) dalam acara lelong di RM Sotheby, California pada hujung minggu lalu.

Mail Online melaporkan, nilai jualan tersebut direkodkan paling mahal setakat ini, mengalahkan rekod terdahulu iaitu berjumlah AS$38.1 juta (RM156.3 juta) dan melibatkan model kereta yang sama pada 2014.

Selain itu, kereta Aston Martin DP215 Grand Competition Prototype keluaran 1963 dilelong pada harga AS$21.5 juta (RM88.2 juta), sekali gus menjadi kereta keluaran British ketiga paling mahal setakat ini.

Acara lelong tersebut meraih nilai jualan berjumlah AS$157.6 juta (RM646.5 juta) dengan me­nyaksikan sebanyak 124 buah kereta dilelong.

Ferrari 250 GTO dihasilkan sebanyak 36 buah dan setakat ini tiga daripadanya sudah dilelong.

Kereta pertama model tersebut dijual kepada seorang pelumba kereta yang dikenali sebagai Edoardo Lualdi-Gabardi dan beliau menggunakan kereta tersebut tidak lebih daripada 10 kali dalam beberapa perlumbaan pada 1962.

Beliau memenangi kesemua perlumbaan dengan menggunakan kereta tersebut dan menjadikannya sebagai juara GT National Italy pada tahun berkenaan.

Selepas itu, model kereta tersebut digunakan dalam 20 lagi perlumbaan pada tahun 1963 dan 1964, selain ia tidak pernah terlibat dalam kemalangan.

Sehubungan itu, beberapa kom­ponen utama kereta tersebut masih kekal sehingga hari ini termasuk enjin dan kotak gear.

Sementara itu, sebuah lagi Ferrari 250 GTO didakwa dijual pada harga AS$70 juta (RM287 juta) pada awal tahun ini.

Post a Comment

Copyright © VIVA TV MALAYSIA.
Designed by OddThemes