Nissa Sabyan Gambus Tolak Lamaran Cinta


MELIHAT pada wajahnya saja, hati sudah terpaut, apatah lagi bila mendengar suaranya mendendangkan lagu, pasti terus jatuh cinta. Tidak dinafikan ramai yang mengagumi kecantikan dan bakat nyanyian yang dimiliki Khoirunnisa atau Nissa, vokalis utama kumpulan Sabyan Gambus.

Saat ini remaja berusia 19 tahun itu menjadi selebriti popular hanya selepas lagu-lagu dendangan semulanya bersama kumpulan Sabyan Gambus mendapat perhatian dalam media sosial hingga mengalahkan populariti artis popular lain.

Siapa sangka lagu selawat dendangannya seperti Deen Assalam, Ya Jamalu, Law Kana Bainanal Habib, Ya Habibal Qolbi, Rahman ya Rahman, Ya Asyiqol Musthofa, Ahmad Ya Habibi, Ya Taiba, Qomarun dan Assalamualaika ya Rasulullah bersama Sabyan Gambus mendapat perhatian ramai.

Selain Nisa, Sabyan Gambus turut dianggotai Anisa Rahman (vokalis dua), Ayus (keyboard), Kamal (gendang), Tebe (biola) dan Sofwan (MC). Mereka ini merupakan lepasan sekolah agama yang terletak di ibu kota Jakarta, Indonesia. Hingga saat ini, jutaan orang telah berlangganan saluran YouTube Sabyan Official yang mulai dimuat naik sejak 2017.

NISSA selesa bersama dengan Sabyan Gambus dan belum terfikir untuk bergerak solo.

Sabyan Gambus awalnya dibuat untuk memeriahkan acara perkahwinan sahaja, kini setiap video dendangan mereka yang dimuat naik dalam YouTube pasti menjadi sohor, bukan sahaja di tanah air tetapi juga di luar Indonesia.

Antaranya, video klip Atouna El Toufoule yang mendapat tontonan lebih daripada 4 juta penonton dan Ya Habibal Qolbi yang ditonton sebanyak 220.5 juta tontonan. Langganan untuk saluran YouTube Sabyan Gambus pula sudah mencecah 873,000 banyaknya.

Menurut penyanyi kelahiran Lumajang, Jawa Timur, Indonesia itu, walaupun dia merupakan anggota paling muda dalam kumpulan tersebut, namun layanan yang diterima tetap sama dengan yang lain. Dia juga berkata, populariti tidak menggubah peribadinya selama ini.

“Tidak ada bezanya antara saya dengan ahli lain, biarpun saya yang paling muda. Kami bergerak sebagai kumpulan, jadi semua itu harus dilakukan bersama. Apa yang kami raih sekarang ini adalah hasil kerjasama semua ahli. Mana mungkin populariti ini milik saya seorang.

“Alhamdulillah, saya senang melihat banyak anak muda menggemari muzik dan nyanyian selawat. Sampai saat ini, saya masih belajar perihal menyanyi dan muzik,” jelasnya.

Kata Nissa, kalau ada dalam YouTube yang menampilkan dia menyertai mana-mana pertandingan realiti seperti program American Got Talent, itu semua kreativiti peminat.

“Saya tidak boleh marah pada peminat yang memuat naik pelbagai video seolah-olah saya menyertai pertandingan luar dari Indonesia. Secara peribadi, saya belum pernah mengikuti mana-mana pertandingan nyanyian baik di Indonesia seperti Indonesia Idol atau Akademi Dangdut. Selama positif saya tak ada masalah.

“Setakat ini saya masih mahu meneruskan perjuangan seni dengan Sabyan Gambus. Malah sebelum ditawar menjadi anggota Sabyan Gambus, saya juga tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi solo,” katanya yang tidak dapat menghalang peminat membuat pelbagai video tentang dirinya.

Biarpun Sabyan Gambus terkenal dengan lagu-lagu keagamaan, tidak bermakna Nissa tak mampu mendendangkan lagu dalam rentak lain. Kata pelajar Sekolah Teknik Menengah (STM), dia juga meminati genre pop.

Jelas Nissa, dia tidak pernah rasa terbeban dengan populariti yang diraih secara mendadak itu kerana masih meneruskan kehidupan seperti remaja lain.

“Saya masih lagi Nissa yang dulu tidak ada bezanya. Masih boleh keluar berlibur dengan keluarga selepas mengadakan persembahan atau beraktiviti bersama teman sekolah. Kalau tidak ada undangan persembahan pentas, saya suka istirehat di rumah bersama keluarga.

“Cuma akhir-akhir ini banyak undangan, jadi masa bersama keluarga terhad tapi mereka faham dan sentiasa menyokong kerjaya saya. Saya akan berusaha mencari waktu untuk bersama keluarga,” jelasnya.

Mendapat lamaran cinta

Seperti penyanyi lain, Nissa juga ada menyimpan impian untuk berkolaborasi dengan penyanyi Shireen Abdul Wahab dari Mesir yang popular dengan lagu seperti Kolly Melkak dan Mathasbnesh.

Dia yang serius dalam bidang seni sering menolak lamaran daripada peminat yang ingin menyuntingnya sebagai kekasih. Bagi Nissa, terlalu awal untuknya memikirkan soal cinta kerana dirinya masih muda dan banyak perkara yang belum diterokai.

“Tidak dinafikan ramai juga yang cuba memikat tapi saya tak ambil serius. Saya anggap itu semua usikan nakal saja.

“Saya masih muda, banyak perkara yang belum tercapai. Bagi saya, peminat adalah penyokong dan matlamat saya pada masa ini adalah untuk terus menghibur mereka,” kata remaja periang itu.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, biarpun belum mempunyai kekasih, namun dia ada ciri-ciri lelaki idamannya tersendiri. Antaranya yang mahu menjadi calon suami Nissa, harus beragama Islam, suka berselawat, kacak dan menyokong kerjaya seninya. -UM

1 comment :

  1. Hallo semuanya,
    ingin mengundang sabyan gambus untuk event atau acara pribadi Anda
    silahkan kunjungi Sabyan Gambus Official
    untuk informasi lihat detailnya.
    Terima Kasih

    ReplyDelete

Copyright © VIVA TV MALAYSIA.
Designed by OddThemes