Karya Seni Di Pasiran Pantai


Berukuran selebar sehingga 152 meter, karya seni luar biasa ini mengubah pantai yang lengang menjadi kanvas kosong.

Ciptaan menakjubkan ini adalah cetusan idea artis Julian Richardson, 42, yang mempunyai hanya beberapa jam untuk menyiapkan satu rekaan sebelum ia dihapuskan air pasang.


Dengan menggunakan pencakar, Richardson dengan teliti ‘menyapu’ pasir itu untuk mendedahkan pasir basah yang lebih gelap di bawah.

Artis yang berasal dari Wiltshire itu sudah mencipta 45 hasil seni pasir di seluruh barat daya England sejak 2013.

Pantai pilihannya ialah Brean Down di Somerset kerana Selat Bristol mempunyai antara perubahan air pasang surut terbesar di dunia, sekali gus memberinya ruang lebih luas untuk menghasilkan karyanya.

Tanjung setinggi 91 meter di atas turut menawarkan pemandangan menarik seluruh teluk itu.

Richardson berkata: “Kerana keadaan air pasang surut, seni pasir menjadi sangat popular. Setiap hasil seni boleh dinikmati sepenuhnya apabila dilihat dari atas. Jika dilihat dari bawah pula, ia akan nampak lebih abstrak.


“Saya hanya mempunyai tujuh jam untuk menyiapkan seni ini dan merekod setiap karya yang sudah siap sebelum air pasang.

“Dalam beberapa keadaan, saya terpaksa mengubah rekaan atau terpaksa menukar sedikit bahagian untuk melengkapkan karya itu dan merakam hasilnya sebelum mula ditelan air pasang.”

Post a Comment

Copyright © VIVA TV MALAYSIA.
Designed by OddThemes