Hutang Kereta Adib Langsai Serta-Merta


ALOR SETAR: Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak lagi terbeban dengan pinjaman kereta apabila Bank Simpanan Nasional (BSN) membatalkan nama Muhammad Adib sebagai peminjam sekaligus menyelesaikan pembiayaan untuk kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna hitam yang dibeli oleh Allahyarham pada Oktober lalu.

Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN), Datuk Mohd Yunos Abd Ghani ketika mengesahkan perkara itu berkata “Muhammad Adib beli kereta tersebut pada Oktober lalu, jumlah pembiayaan itu tidak dapat kami dedahkan.”

“Kita akan batalkan nama beliau sebagai peminjam serta merta dan selepas ini terserah kepada bapa arwah untuk menukar nama kenderaan milik arwah kepada keluarga di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya ketika mengunjungi keluarga Allahyarham di Kampung Tebengau, Kuala Kedah di sini.

Mohd Yunos berkata, pihaknya merasakan perlu berbuat demikian bagi mengenangkan jasa dan pengorbanannya ketika menjalankan tugas kepada masyarakat, malah Allahyarham adalah wira bagi seluruh rakyat Malaysia.

Dalam kunjungan itu, Mohd Yunos turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga Allahyarham bagi meringankan beban yang ditanggung.

Sementara itu bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata “Saya ucapkan terima kasih kepada BSN yang menyelesaikan pembiayaan kereta anak saya ini dan seluruh rakyat Malaysia yang menyumbang selama ini.”

Mohd Kassim berkata, beliau berhasrat untuk mewakafkan sebahagian sumbangan tersebut atas nama Muhammad Adib.

Beliau juga menyatakan rasa terharu dengan kunjungan pelbagai pihak dan orang ramai di kediaman mereka, walaupun sudah enam hari jenazah anaknya dikebumikan.

Beliau berkata, sejak kematiannya anaknya itu, kediamannya tidak sunyi daripada menerima kehadiran tetamu dari jauh dan dekat yang ingin berkongsi kesedihan mengenai tragedi yang menimpa keluarganya serta menyampaikan sumbangan.

“Tiada apa nak saya nak cakapkan, cuma nak ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat yang bersimpati dengan kejadian ini,” katanya.

Turut berkunjung ke rumah anggota bomba itu pagi tadi ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Pengerusi Yayasan Islam Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang turut menyampaikan sumbangan RM1,000.

Pada 20 Diember lalu, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff meluangkan masa menziarah keluarga berkenaan bertanya khabar dan memberikan kata-kata semangat kepada ibu-bapa Allahyarham.

Selain itu, Pegawai Khas (Ekonomi) kepada Timbalan Perdana Menteri, Ameer Ali Vali Mohamed turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham bagi pihak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Jumaat lalu.

Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang parah akibat dipukul sekumpulan perusuh ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam Isnin lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. - Bernama

Post a Comment

Copyright © VIVA TV MALAYSIA.
Designed by OddThemes